Bisukan Komputer Jika Mengganggu :)

#57: Icarus

| Memasangkannya kepada si anak |
Daedalus mengepak-ngepakkan sayap palsu yang baharu saja disarungkan ke kedua belah tangannya. Anaknya, Icarus pun turut mencuba mengibaskan sayap selebar dua meter dari hujung ke hujung itu. Keterujaan bersinar pada mata anak remaja yang sedang membesar itu. Bukanlah kerana mereka akan terbang mencapai batas langit, tetapi kerana mereka bakal bebas. Bebas untuk selama-lamanya dari penjara rekaan Daedalus itu sendiri. Raja Minos of Crete lah yang sebetulnya memenjara kedua anak beranak itu dalam penjara yang Daedalus sendiri bina: Labirin. Jiwa, ditambah lagi kebijaksanaannya membuka satu-satunya jalan untuk mereka keluar dari neraka dunia itu: mengepakkan sayap. 

Diikatnya bulu-bulu pelepah, dari terkecil ke terbesar agar dengan itu, sayap bertambah sebarannya. Akalnya sebagai pembina penjara Minotaur membolehkan dia menalari logik hukum tekanan: semakin besar luas permukaan, semakin sedikit tekanan dan semakin tinggi kadar keapungan. Lalu setelah bulu pelepah siap diatur dan dilekatkan, dipasangnya titik tengah setiap pelepah dengan seutas benang, dan pada pangkal sayap dengan  lilin yang dicairkan, dan melengkungkannya umpama sayap helang. Kerja tamat, sayap dikepak. Lalu Daedalus mendapati dirinya terapung, tidak menyentuh tanah. Cukup dengan membayangkan tubuhnya menentang tarikan ganas graviti dan angin yang bergolak, terawang-awang di udara seakan terapung pada dunia sendiri, dia menggigil dan tersenyum pada detik yang hampir sama.

Sebaik itu, Daedalus memasangkan sepasang lagi sayap kepada Icarus. Pelepah demi pelepah dielus perlahan, Icarus dengan ghairahnya mula berlari-lari anak, menuju ke sebuah puncak menara. Lantas dia melalui jendela, dia melompat dan mengibas. Daedalus yang sejak tadi terawang-awang sudah berapung di sisi Icarus dan mereka penuh gempita merasa seolah-olah dua pasang raja angkasa. Penguasa semesta. Helang dan gemawan tercapai akhirnya. Kini, kapal penjaga Raja Minos mahupun soldadu darat baginda tidak mampu mencapai darjat mereka berdua. Terlepas dari cengkaman raja yang tidak mengenang budi, Daedalus mengekori Icarus menuju ke Sicily.

"Icarus, jangan terbang terlalu dekat dengan matahari!" jerit Daedalus saat melihat anak mudanya seakan terpesona dengan kilauan sang suria. Ditakuti, lilin yang memegang pelepah-pelepah sayapnya akan cair, dan itu boleh menyebabkannya terjunam ke dalam senggara.

Dan Icarus lakukan itu. 

Setelah terbang melepasi Samos dan Delos, Icarus lalai dengan ketinggian dirinya, baik harfiah mahupun istilahiyyahnya.  Dirasakannya dia sudah hebat, maka terbanglah dia ke arah matahari. Barang sayapnya langsung bercerakin menjadi ribuan keping dan helaian pelepah dan dia lemas. Daedalus bersedih dan hiba saat sayap Icarus kelihatan terapung-apung tanpa pemakainya lagi. Turunlah dia sebentar dari penerbangan dan sebuah makam terbina. Laut tempat nyawa anaknya lemas dinamakan Icaria.

Daedalus menyambung perjalanan ke Sicily dan berkhidmat dengan Raja Cocalus. Dengan kemahirannya, dia membina Tokong Apollo dan ketika Raja Minos menuntutnya dari Raja Cocalus, dibunuhnya raja zalim itu dengan menyimbahnya dengan air panas. Maka, Daedaluspun tamat hikayatnya yang terkenal.

No comments: