Bisukan Komputer Jika Mengganggu :)

#26: 'Croissant'


"Tingg!!"

Alfred segera melompat dari bangku tinggi dan memakaikan sarung tangan yang bersidai di atas kabinet dapur. Dia berputar ke kiri, penutup ketuhar dibuka luas. Bahang lekas keluar mencubit kulit mukanya, tangan meragut loyang besi berisi dua ketul roti. 'Croissant'; roti kegemaran ibu. 

Sudah dekat dua hari ibunya sakit. Ayah yang telah berlepas ke Eropah petang tadi hanya mampu bertanya khabar dan mengirim doa melalui gagang telefon kira-kira sejam lalu. Bebanan kerja sentiasa saja menjadikan dirinya, seorang diplomat negara, seorang musafir. Cuti habis dimangsai. Kadangkala cuti sabatikal pun terpaksa dikorban. Demi negara jawabnya pada Alfred tiap kali anaknya yang berumur lima belas tahun itu bertanya.

Dua roti 'croissant' tersebut adalah hasil air tangannya sendiri. Ayah yang mengajar. Semasa dalam durasi lawatan diplomatik ke luar negara, ayahnya, Encik Zahiril akan selalu mengambil kesempatan mempelajari adat resam, makanan dan budaya masyarakat tempat dia bertamu. 'Croissant' dia pelajari di Vienna. Rangup, berlemak, teguh rasa tenusunya dan akan cair dalam kunyahan, 'croissant' memang umpama pastri dari kayangan.

Namun bukanlah kelazatan dan keempukan pastri itu yang ingin dia ajarkan Alfred. Bukanlah kerangupan yang dia mahu anaknya tahu dan nikmati. Oleh kerana travelognya banyak mengajar Encik Zahiril nilai tamadun, maka dia mahu Alfred faham bahawa 'croissant' adalah keaiban lampau masyarakat Muslim.

"Kenapa ayah kata embarrassment orang Islam?" Pertanyaan anaknya yang pekat dengan lajhah British warisan si ibu tiba-tiba menerpa telinga Encik Zahiril. Kapal terbang berlayar perlahan merentasi Lautan Pasifik, dan ke lautan itu jugalah dia menabur perhatian. Ada wajah Whitney, isterinya dan Alfred di antara kemilau pantulan cahaya bulan padanya. 

Sudah dua jam dia berduduk pasif di dalam kapal terbang. Destinasinya, Anchorage, Alaska masih belum nampak secebispun tanahnya. Atau aisbergnya. Konvensyen Alam Sekitar yang dibuat mengejut memaksa dia mengemas pakaian cepat, mencium dahi Whitney yang sakit dan Alfred lalu memandu terus ke lapangan terbang. Sebetulnya dia tidak mahu pergi, mahu menjaga si isteri yang sakit, tapi desakan Whitney mendorong dia untuk memenuhi komitmen kerja. "Asal jangan dibawa pulang bidadari Alaska, sudah!" Whitnet berjenaka dalam sakit.

Dan Alfred anak lelakinya yang semakin meningkat remaja. Alfred hasil perkahwinan dua manusia dari dua benua berbeza, dua bangsa dan agama berlainan. Ditemukan oleh Zahiril Whitney semasa lawatannya ke United Kingdom semasa mengurus program 'twinning' para pelajar Malaysia dengan pelajar United Kingdom. Semasa dia terpandang Whitney Raddleton, wanita berambut merah itu sedang mengelap portret Queen Elizabeth yang merias dinding bangunan kedutaan. Dibawa larinya Whitney yang kebetulan anak yatim ke Malaysia di bawah pasport kerja, lalu dinikahinya. Dua tahun bersama, Sayyed Alfred bin Sayyed Zahiril Shah lahir. Teringatkan Alfred, memori lapan tahun dahulu datang semula.

"Kerana selepas kekalahan tentera Muslim pimpinan pemerintah Turki ketika itu--ketika tahun 1529--yakni Sulaiman yang Mahsyur dalam peristiwa 'Siege of Vienna' Sulaiman, para pembikin roti sibuk membuat roti berbentuk sabit; 'croissant'  itulah."

"Then?"

"Then they baked it and bagi orang Vienna makan. It's kinda mockery, semacam simbol orang Vienna memakan Islam." Kening diangkat saat 'memakan' diucap. Dia mahu mengajar pasal simbolik kepada cahaya matanya itu. Bahawa Islam pernah diaibkan. Islam pernah ditelan mulut kafir. "Ooo..." sahajalah jawaban Alfred yang masih kurang mengerti.

"Ayah mahu kamu tahu nak, bahawa ayah sayang Islam dan keluarga kita. That's why ayah Islamkan ibu kamu dan kamu. Allah says: O believing men, protect yourself and your families from the fire of Hell dalam Surah ke-66, right? So, dengan Islam sajalah kamu berdua selamat. And one more thing... I want you to study hard. Very hard. This daddy want you to be a successful Muslim, so that..." Encik Zahiril tiba-tiba jeda. Air matanya tumpah, terkilan untuk menyebutkan ayat seterusnya. 

Alfred memandang muka ayahnya. Melihat ayahnya tiba-tiba menangis, jemari halus merah jambunya mengesat bawah kelopak mata ayah yang bergenang. Ayahnya semakin sebak. Bahu yang tadi dipegang erat, diletakkan rapat dalam pelukan.

"...so that kita tidak akan dimakan lagi oleh mereka."

No comments: