Bisukan Komputer Jika Mengganggu :)

Perjuangan Ini, Milik Kita


Tuan Guru Nik Fattah merenung keluar tingkap keretanya. Beliau duduk di tempat belakang. Kereta Mercedes Benz yang beliau naiki dipandu anaknya sendiri, Nik Halim. Nik Halim bukanlah seorang politikus sepertinya, melainkan seorang ustaz di sebuah maahad terkemuka. Pernah Nik Halim membisik kepada Tuan Guru Nik Fattah, betapa dia tidak berapa menyukai politik. Hatinya mudah panas, maka menjauhi politik itu dirasakan keharusan baginya.

Di sebelah Tuan Guru, yang tidak pernah berganjak untuk mendampingi beliau sepanjang empat puluh tahun perjuangannya menegakkan undang-undang Allah di bumi Melayu ini; isterinya, Bunda Maryam As-Sabahuddin, juga seorang pendidik. Bunda Maryam berpendirian serupa dengan anak sulungnya, Nik Halim, bahawa biarlah dia menumpukan pada perjuangan mentarbiyah anak bangsa. Namun begitu, kesetiaannya dalam menyokong si suami, bak Siti Khadijah r.a pada Rasullullah SAW.

“Kamu sudah maklumkan pada beliau?” tanya Tuan Guru selepas menepuk lembut bahu anak kedua mereka yang duduk di tempat duduk penumpang depan; Nik Idrisi. Nik Idrisi adalah Ketua Ashabul Tahrir negara.

“Maklumkan apa?” balasnya, sebelum menjawab sendiri soalan itu dengan minda; “Oh, sudah. Beliau sudah membuka pintu sejak selepas Solat Subuh lagi.”

Tuan Guru mengangguk dalam senyum. Bersilih-ganti kalimah tahmid, tahlil, takbir dan pelbagai lagi zikir terluah dalam kumat-kamit bibirnya. “Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara!”. Ayat kesembilan, surah keempat puluh sembilan itu bersipongang di telinganya. Tongkat yang disandarkan pada pintu kereta, dipegang dan diurutnya. Rindu pada saudara yang sedang beliau tujui rumahnya meluap-luap.

Biarlah apa Sandra Chew dan Nallagapam hendak kata, beliau tidak kisah. Kerana baginya persaudaraan agama itu lebih besar maknanya untuk perjuangan mencari rahmat Allah berbanding persekutuan siyasah. Biarlah beliau dilabel pengkhianat, kerana berkat hikmahnya dalam ketegasan, Sandra Chew dan Nallagapam pastinya akan tertunduk akur. Umat Islam harus tahu membezakan fadhilat; mana yang lebih utama berbanding kurang utama.

Sesekali deru angin mengibarkan lebihan serban putih yang beliau lilitkan di kepala. Kemudian kedengaran suara-suara dari luar, menyebut-nyebutkan namanya. Sudah sampai akhirnya, ke destinasi. Apabila sahaja kereta Mercedes Benz itu berhenti betul-betul di depan pintu rumah saudara yang dirihlahnya, seorang lelaki berbaju putih, seluar hitam dengan hunusan pedang di tangan sebelah kanan, menghulurkan tangan sebelah kirinya ke tombol pintu belakang kereta tersebut; menyelaknya dan mengangakan ia luas-luas. Sempat dia memberikan senyuman manis kepada tokoh di dalam kereta.

Dengan lafaz basmalah, Tuan Guru Nik Fattah melangkah keluar. Serta-merta juga, sorakan kedengaran; sorakan nama dan sorakan berbunyi doa, sorakan menyambut ketibaan dan pelbagai lagi. Kelipan demi kelipan cahaya kamera berpinaran, tanda ini bukan calang-calang sambutan. Beliau kadang-kadang mengangkat telapak tangannya, memberikan senyuman seindah sungai di Allahabad dan tunduk tanda zuhud. Nik Halim dan Nik Idrisi turut dikerumuni manusia, mungkin kerana selain masing-masing guru cemerlang, tokoh politik dan anak personaliti agung; kedua-duanya peserta ‘Imam Muda’ yang menjuarai program tersebut. Johan dan naib johan.

“Ya Syeikh!”

Kedengaran suara dari pintu utama mahligai indah itu. Dua figura manusia sedang berdiri dengan senyuman; seorang wanita bertubuh sedikit makmur, bertudung rapi dan berjubah longgar. Seorang lagi, berbaju kasual—kemeja, tali leher, blazer dan berteg nama—mungkin manusia paling popular di Malaysia, sedang tegak mendepakan tangan tanda menyambut ketibaan seteru politiknya, Tuan Guru Syeikh Nik Fattah (Tuan Guru tidak berkenan saya meletakkan perkataan ‘syeikh’ di depan namanya). Yang berdiri itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

Tuan Guru Nik Fattah berjalan pantas ke arah lelaki itu, lalu menyambut depaan tangan beliau dengan pelukan mesra. Bunda Maryam pula sedang beramah-mesra dengan Wanita Pertama, isteri Perdana Menteri. Selesai sesi bersalam-salaman dan bertanya khabar, mereka beriringan menuju ke ruang menjamu selera. Tiada meja dari Itali, tiada periuk mangkuk dari Perancis dan porselin dari China; sekadar pinggan buatan Malaysia tersedia di atas meja.

Nasi disenduk, lauk dikaut secukupnya dan air dituang ke dalam gelas-gelas kaca. Maka seluruh isi mahligai bersantap sambil berinteraksi berkenaan hal bukan politik; seperti Perdana Menteri bercerita mengenai lawatannya ke Gaza dan bagaimana anak beliau akhirnya mendapat lulusan Usuluddin dari Universiti Yarmouk, Jordan, berlaku dengan meriah sekali. Wartawan tidak henti-henti menyala lampu limpah kamera mereka.

Kemudian, masa yang ditunggu-tunggu. Lampu tiba-tiba padam. Dari salah-satu pintu ke ruang makan itu, sebuah kek berbentuk segi empat sama berwarna biru dan hijau dengan lilin menyala bercerucukan di atas kek, bergerak ke meja. Yang sama-sama menjinjing kek itu adalah Nik Halim dan Salman Qur’aishi, anak Perdana Menteri. Tertulis dengan dakwat krim coklat di atas kek, “Semoga ayahanda mendapat petunjuk, rahmat dan kasih-sayang Allah sentiasa”. Perdana Menteri menitiskan air mata terharu. Sapu tangannya dikeluarkan dari poket, lalu mutiara basah seorang pemimpin dikesat. Terketar-ketar beliau dalam perasaan tersentuh. Si isteri mengusap belakang, menenangkan.

Tidak lama kemudian, nyanyian “Allah selamatkan Tuan” berkumandang. Semuanya menghadap Perdana Menteri yang telah mencecah usia 50 tahun, dengan senyuman, sambil bernyanyi bertepuk tangan. Lilin ditiup tanpa berbuat hajat, lalu dipotong dan dibahagi-bahagikan seadanya kepada semua. Tuan Guru Nik Fattah sekali lagi mendatangi Perdana Menteri dan memeluk riang, dan membuat kejutan. Dari poketnya, senaskhah buklet bertajuk ‘Perjuangan Ini, Milik Kita’ bertukar tangan. Sebak si Perdana Menteri.