Bisukan Komputer Jika Mengganggu :)

#22: Zine

Bilik tamu berukuran dua puluh kali dua puluh itu semakin sesak dipenuhi sidang media dan para wartawan. Kelihatan pada suatu sudut, pada sebuah pintu yang ternganga luas yang menuju ke perkarangan rumah, tarik-menarik berlaku. Kegemparan sebegini perlu disiarkan pada muka depan. Bisa jadi penarik perhatian masyarakat yang hanya tahu mengiya.

"Ya, ini adalah zine terbaru kami. Zine ini memuatkan semua penulisan 32 penulis 'back-alley' yang terkenal dari seluruh dunia. Begitupun, kesemua penulis bersetuju untuk mengekalkan 'anonymity' mereka," 

Luzifa menerangkan dengan penuh ghairah. Buku yang dari diangkatnya dan dihadapkan menghala puluhan kamera diletakkan pada meja kaca bujur yang berdiri setia dengan kaki jati empatnya di hadapan Luzifa. Ia jadi pemisah antara Luzifa dan sidang akhbar, seakan terkadang pemisah darjat ekonomi.

Siapa tidak kenal Luzifa? Lelaki yang pernah menggemparkan mahligai politik negara dengan komik sinisnya, 'Amukan Pasca Madey'. Kini, dia kembali dengan zine yang paling baharu, 'Andai Putrajaya Milikan [Dia]'. Kali ini, dia yang punya rangkaian media tempatan yang meluas (semuanya kerana blognya yang sudah mencapai 78 juta 'pageviews') dengan beraninya memanggil sidang media bagi menguar-uarkan produksi zine itu.

"Kami percaya bahawa sekurang-kurangnya dua belas juta naskhah akan terjual. Pihak percetakan telah membuat dua puluh juta salinan yang akan diedar ke seluruh negara," tambahnya lagi. Seorang wartawan wanita yang berpakaian skirt kasual merah separas paha berkaca mata yang duduk di sofa bersebelahan Luzifa menekuni setiap perkataan lelaki itu dan menuliskannya pada sebuah buku nota kecil.

Dengan topeng gas dan mafla hitam putih Palestin sebagai identiti anonimitinya, sesetengah penulis blog yang benar-benar bekerja di dalam bayang massa mempersoalkan label yang dia letakkan ke atas dirinya itu. Jika anonimus, sepatutnya tiada identiti, tiada apapun perkara khusu yang boleh membuatkan orang mengingati dan mengenalinya. 

Puluhan soalan bersilih-ganti dihumban kepada Luzifa. Tentang tema buku itu, tentang harga dan risiko yang terpaksa ditanggung oleh tiga puluh dua penulis anonimus yang terjun bersama memenuhi setiap muka surat zine itu; semuanya dijawab dengan penuh keangkuhan.

"Berkenaan tema, kami telah memutuskan untuk memanipulasi kekacauan PRU yang akan datang sebagai tema. Zine ini akan menjadi kehangatan serta merta,". Isteri Luzifa yang turut bertopeng gas menatang dulang teh yang baharu saja dibancuhnya datang menginterupsi. Diletaknya cawan teh yang punya cat emas pada mulut di atas meja kaca tadi, lalu beredar. Luzifa yang tidak menghirau hangat air lantas menghirup sikit dan meneruskan respon, "...ia akan dijual pada harga RM7.80."

"Tapi, tidakkah itu terlalu mahal untuk sebuah buku picisan?" seorang wartawan lelaki yang lebat janggutnya bertanya. Luzifa kecang seketika, namun teh buatan isteri cemerlang menenangkannya, "Saya tidak rasa ianya begitu membebankan. Jika CD blue masyarakat Malaysia mampu beli dengan harga RM20.00, kenapa tidak zine sederhana yang punya nilai subjektif?". Jeda sebentar, menambah lagi, "Kami percaya, ekonomi sudah semakin stabil, maka itu tiada masalah."

.....

Azli menekan punat merah kawalan jauh yang memang telah sedia dia letakkan jari telunjuk atasnya. Mendengar saja nama 'Luzifa', 'zine' dan 'rakyat', dia keras menahan deras darah menyirap. "Semuanya sudah berubah, Luz," bisiknya sendiri. Punat ditekan keras, televisyen serta-merta padam.

Kalau dahulu, Luzifa lah tokoh sosialis-anarkis yang paling dia sanjung. Bahkan, Azli pernah bekerja di bawah seliaan lelaki itu. Kalau dahulu, penulisan mereka jadi tatapan manusia miskin yang dahagakan motivasi untuk terus hidup, terus berjuang pada Bumi agung ini. Duit tidak pernah jadi persoalan, harga ditawar-tawar sehingga ke RM3.00 setiap naskhah. Sekarang?

Sekarang Luzifa bukan sudah perwakilan marhaen yang "merdeka dari tuntutan Kerajaan zalim dan fasiq" seperti yang disebutnya dalam entri kedua blognya. Sekarang, tangannya tidak lagi menulis untuk menjadi pengadil sekali gus penghukum dalam kalangan sosialis yang selalunya anonimus. Topengnya sudah jadi sebutan ramai, rumahnya sudah sesak dengan asakan pres. Malah, dia sudah punya autograf sendiri.

Zine 'Amukan Pasca Madey' adalah karya usahasama terakhir Azli dengan Luzifa. Dia sudah betah hidup dalam lindungan hipokrasi penulis blog terpopular itu. Dia sudah bertukar kiblah. Dia sudah jadi Kapitalis yang meladeni kedunguan masyarakat yang selalu laparkan revolusi.

Zine 'Amukan Pasca Madey' yang sudah berhabuk tersadai di bawah kabinet mejanya dicapai. Muka surat pertama, karangan Luzifa: 'Tahi Kapitalis'. Ironis.

______________________________________________________________________________  
"Das Leben gehört den Lebenden an, und wer lebt, muss auf Wechsel gefasst sein."
"Life belongs to the living, and those who live must be prepared for change."
- J.W. von Goethe (1749-1832), 'Wilhelm Meisters Wanderjahre'

No comments: