Bisukan Komputer Jika Mengganggu :)

#60: Sahabat Baik

| Sekadar fiksyen |
Harmin menekan punat 'Enter' berulang-kali. Satu-persatu gambar bertukaran pada skrin komputer ribaku, dan aku yang hanya termangu melihat kesemua gambar, tersenyum. Ada dia, kawan baikku.

"Aih, gambaq hang takdak! Awat?" Harmin membentak. Ah, jangan mulakannya, Harmin. Kau tahu yang aku sememangnya dalam dilema berkenaan soalan itu. Kupaling muka pada tingkap bilik. Hujan. Semelankolik jiwa yang sangat tenang. Walaupun dicop 'forever alone guy', aku sangat terisi dengan kebahagiaan.

"Hang dengar dak!"

"Aaah!?"

"Gambaq hang, mana?"

"Ah, kalau tiada, tiadalah...". Tersenyum tawar. Dari kerutnya, aku sedar Harmin mengesani itu.

"Hang ni, kalau ada problem, just tell me yar. I'm your best friend..."

Aku mahu mengangguk, tapi memikirkan aksi tersebut tiada signifikannya pada keadaanku sekarang, aku matikan ia hanya pada niat. Sememangnya ini, aku tidak suka untuk jadikan modal perkara berbangkit. Harmin memang kawan yang baik, dia kenal aku lebih dari aku kenal diriku sendiri. Hari itu, aku mahu pitam, dia yang hulur sebungkus Maggi. Suruh habiskan, padahal aku tidak merasa lapar pun.

Tapi sebaik-baik dia, aku tidak boleh meletakkan rasa sayang terhadap dia melebihi rasa cinta yang aku ada untuk sahabat yang satu ini. Sangat istimewa, aku kira dalam hidupku. Kadang-kadang, aku sampai kepada keadaan mempersoalkan kelelakianku: apakah aku lelaki sehingga rasa sayang pada seorang lelaki? Aku selak kitab, tiada pula haramnya menyayangi seorang sahabat.

Ya, benar kata Harmin. Kebanyakan gambar, akan kurang wajahku. Kalau ada pun, tiada gambar dia. pelik kan, bagaimana sebuah persahabatan terjadi dengan situasi seperti itu. Aku kalau boleh, elakkan berjumpa dengannya, tapi jika jauh, jiwa rasa kecundang. Sekali lagi, kupersoalkan kelelakianku. Tengok cermin, "Oh, kau normal," bisik hati.

Sekarang, Harmin sudah memerangkap, dan aku terpaksa memikirkan satu ayat yang akan buat dia terdiam. Untuk selama-lamanya. Supaya dia yang mulia tidak lagi risau dengan kondisi diriku. Yang selalu tersepit antara tidak percaya dengan diri-sendiri dan percaya pada iman. Aku perlu pastikan ayatku pendek, ringkas, padat dan berbekas. Untuk sekali, selama-lamanya. Dan ilham, Tuhan turunkan.

"Ah. Aku tidak perlu berada di sana. Biarku tidak dapat bersama-sama dengan dia; bergembira dan bergelak suka, aku senang apabila mengingati kebanyakan waktu gembiranya, aku yang sebabkan."

Syukur, Harmin menghirup minuman hangatnya dan berlalu diam.  

No comments: