Bisukan Komputer Jika Mengganggu :)

Showing posts with label pra-novel. Show all posts
Showing posts with label pra-novel. Show all posts

#26: 'Croissant'


"Tingg!!"

Alfred segera melompat dari bangku tinggi dan memakaikan sarung tangan yang bersidai di atas kabinet dapur. Dia berputar ke kiri, penutup ketuhar dibuka luas. Bahang lekas keluar mencubit kulit mukanya, tangan meragut loyang besi berisi dua ketul roti. 'Croissant'; roti kegemaran ibu. 

Sudah dekat dua hari ibunya sakit. Ayah yang telah berlepas ke Eropah petang tadi hanya mampu bertanya khabar dan mengirim doa melalui gagang telefon kira-kira sejam lalu. Bebanan kerja sentiasa saja menjadikan dirinya, seorang diplomat negara, seorang musafir. Cuti habis dimangsai. Kadangkala cuti sabatikal pun terpaksa dikorban. Demi negara jawabnya pada Alfred tiap kali anaknya yang berumur lima belas tahun itu bertanya.

Dua roti 'croissant' tersebut adalah hasil air tangannya sendiri. Ayah yang mengajar. Semasa dalam durasi lawatan diplomatik ke luar negara, ayahnya, Encik Zahiril akan selalu mengambil kesempatan mempelajari adat resam, makanan dan budaya masyarakat tempat dia bertamu. 'Croissant' dia pelajari di Vienna. Rangup, berlemak, teguh rasa tenusunya dan akan cair dalam kunyahan, 'croissant' memang umpama pastri dari kayangan.

Namun bukanlah kelazatan dan keempukan pastri itu yang ingin dia ajarkan Alfred. Bukanlah kerangupan yang dia mahu anaknya tahu dan nikmati. Oleh kerana travelognya banyak mengajar Encik Zahiril nilai tamadun, maka dia mahu Alfred faham bahawa 'croissant' adalah keaiban lampau masyarakat Muslim.

"Kenapa ayah kata embarrassment orang Islam?" Pertanyaan anaknya yang pekat dengan lajhah British warisan si ibu tiba-tiba menerpa telinga Encik Zahiril. Kapal terbang berlayar perlahan merentasi Lautan Pasifik, dan ke lautan itu jugalah dia menabur perhatian. Ada wajah Whitney, isterinya dan Alfred di antara kemilau pantulan cahaya bulan padanya. 

Sudah dua jam dia berduduk pasif di dalam kapal terbang. Destinasinya, Anchorage, Alaska masih belum nampak secebispun tanahnya. Atau aisbergnya. Konvensyen Alam Sekitar yang dibuat mengejut memaksa dia mengemas pakaian cepat, mencium dahi Whitney yang sakit dan Alfred lalu memandu terus ke lapangan terbang. Sebetulnya dia tidak mahu pergi, mahu menjaga si isteri yang sakit, tapi desakan Whitney mendorong dia untuk memenuhi komitmen kerja. "Asal jangan dibawa pulang bidadari Alaska, sudah!" Whitnet berjenaka dalam sakit.

Dan Alfred anak lelakinya yang semakin meningkat remaja. Alfred hasil perkahwinan dua manusia dari dua benua berbeza, dua bangsa dan agama berlainan. Ditemukan oleh Zahiril Whitney semasa lawatannya ke United Kingdom semasa mengurus program 'twinning' para pelajar Malaysia dengan pelajar United Kingdom. Semasa dia terpandang Whitney Raddleton, wanita berambut merah itu sedang mengelap portret Queen Elizabeth yang merias dinding bangunan kedutaan. Dibawa larinya Whitney yang kebetulan anak yatim ke Malaysia di bawah pasport kerja, lalu dinikahinya. Dua tahun bersama, Sayyed Alfred bin Sayyed Zahiril Shah lahir. Teringatkan Alfred, memori lapan tahun dahulu datang semula.

"Kerana selepas kekalahan tentera Muslim pimpinan pemerintah Turki ketika itu--ketika tahun 1529--yakni Sulaiman yang Mahsyur dalam peristiwa 'Siege of Vienna' Sulaiman, para pembikin roti sibuk membuat roti berbentuk sabit; 'croissant'  itulah."

"Then?"

"Then they baked it and bagi orang Vienna makan. It's kinda mockery, semacam simbol orang Vienna memakan Islam." Kening diangkat saat 'memakan' diucap. Dia mahu mengajar pasal simbolik kepada cahaya matanya itu. Bahawa Islam pernah diaibkan. Islam pernah ditelan mulut kafir. "Ooo..." sahajalah jawaban Alfred yang masih kurang mengerti.

"Ayah mahu kamu tahu nak, bahawa ayah sayang Islam dan keluarga kita. That's why ayah Islamkan ibu kamu dan kamu. Allah says: O believing men, protect yourself and your families from the fire of Hell dalam Surah ke-66, right? So, dengan Islam sajalah kamu berdua selamat. And one more thing... I want you to study hard. Very hard. This daddy want you to be a successful Muslim, so that..." Encik Zahiril tiba-tiba jeda. Air matanya tumpah, terkilan untuk menyebutkan ayat seterusnya. 

Alfred memandang muka ayahnya. Melihat ayahnya tiba-tiba menangis, jemari halus merah jambunya mengesat bawah kelopak mata ayah yang bergenang. Ayahnya semakin sebak. Bahu yang tadi dipegang erat, diletakkan rapat dalam pelukan.

"...so that kita tidak akan dimakan lagi oleh mereka."

#23: Udang Masak Merah Wisongko

Maaflah, ini bukan udang masak merah.
Udang masak merah yang masih berasap itu ibu letakkan ke tengah meja makan. Datuk, nenek, ayah dan kakak semuanya seakan sudah bersedia menghabisi segala yang terhidang di atas meja makan bulat itu. Ibu masih sibuk di dapur, memindahkan lauk dari belanga ke mangkuk. Bunyi air pili bercucuran kedengaran dan ayah langsung mengerling kakak. Kakak yang sedang menyenduk nasi untuk datuk faham dengan maksud ayah, senduk diserah kepada nenek. Sekarang nenek yang punya kuasa mengagih nasi. Kakak menyorong kerusinya ke belakang. Dia senyum pada semua dan bergerak ke dapur untuk membantu ibu. Orang perempuan, kata ayah, perlu bercinta dengan dapur sebelum dengan lelaki.

Udang masak merah yang sengaja diletakkan di tengah meja masih berasap. Deru kipas siling meliuk-lentukkan wasap itu ke kiri dan ke kanan tanpa rela. Empat pasang mata semua ditumpukan pada mangkuk besar itu; ada udang dan ada selautan kuah merah menggugah lidah. Di tengah mangkuk itu ukiran timun dan kepingan nipis tomato tergubah, membentuk suatu pemandangan yang bisa buat sesiapapun lapar. Gubahan itu, kakak yang membuatnya. Kelas kulinari separuh masa yang ayah daftarkan untuknya tidak sia-sia. Di bawah rimbunan misai ayah yang tebal, ada senyuman kepuasan terukir.

Udang masak merah itu pula hasil air tangan ibu. Kepandaian turun-temurun keturunan Jawa yang menjadi sebutan jiran berblok jauhnya. Apabila kenduri kesyukuran diadakan di rumah mereka, atau majlis sambutan hari jadi dirai, ibu mesti memasak itu. Itu, itulah jugalah yang pertama habis dilicini para tetamu. Pujian demi pujian akan ibu terima. "Eh kak, ajarkan aku cara memasaknya," pernah aku dengar. Dahulu pernah suatu program memasak mendatangi rumah mereka, hasil sebaran khabar angin dari mulut ke mulut tentang udang masak merah itu. Chef yang mulanya masuk meninggi hidung keluar tunduk dengan kelazatannya. Itulah penangan masakan orang Jawa.

Udang masak merah itu asbab terbentuknya keluargaku. Ia berjaya melunakkan hati ayah yang berjawatan jeneral untuk sentiasa merindui masakan itu dan sekali gus tukang masaknya. Kuahnya yang merah bagai lava Gunung Merapi berjaya menyebabkan ayah terjelepok kepayan dalam pelukan ibu. Mengingat kisah itu, aku tertawa. Ah, ibu. Jika tidak pandai memasak inipun, sudah cukup jelita untuk mencairkan mana-mana lelaki. Udang masak merah itu sekadar alasan ayah.

"Adeelah, kau perlu belajar masak benda ni," ucap ayah, suara separuh menekan sambil tangannya lincah memisahkan udang dari kulitnya. Kakak baru duduk, dan tahu ucapan itu ditujukan kepadanya. Ibu hanya mampu tersenyum sebelum mengambil tempat duduk. Aku yang entah sejak bila berilusi tentang kisah cinta ayah dan ibu lantas membaca doa dan mengaut lauk. Ya, udang masak merah itu yang pertama aku cedok. Kuah ditumpahkan lebih.

Rasa tercabar, kakak membalas, "Ya, ayah. Aku sudah tahu bahan-bahannya."
"Cuba sebutkan," ayah menduga. Menyuap.
"Udang. Udangnya mesti udang dari laut China Selatan. Bawang merahnya dipotong dadu; dan belacan... belacan perlu ditabur selepas bau naik. Cili kisar, sos cili, bawang besar, gula, garam...."
"Dan air asam jawa," ibu menyampuk. 
"Ya, air asam jawa!" kakak pula menyambut. Tersenyum. Ayah pun. Datuk tidak terkesan, wajah taat menghadap makanan. "Jangan letak tepung, sudah!" tambahku, berbasi-basa. 

Dekahan memecah suasana yang tadinya serius. Keluarga kami beginilah, waktu makan malamlah waktu kami paling rapat. Dalam keriangan itu, datuk tidak ikut serta. Masalah pekaknya tidak membolehkan dia mengikuti setiap apa yang kami bualkan. Masa itulah, aku kilaskan pandangan pada nenek. Ketawa masih meriah, cuma aku yang berhenti. Kutatap wajah nenek.

Nenek pula tiba-tiba menghentikan suapannya. Jemarinya yang sudah tinggal rangka dan kulit dicakah pada sebukit nasi bersisa. Matanya tiba-tiba berair, seakan menahan sebak. Apakah aku saja yang perasan akan perubahan itu, aku tidak pasti. Tapi ketawa yang semakin reda menjadikan perubahan nenek semakin ketara. Kakak yang pertama perasan selepas aku menarik lembut siku ibu dan memuncungkan mulut ke arah nenek. Ibu turut, ayah pun.

"Kenapa, mak?"

Nenek membisu. Air mata nenek mulai menuruni pipinya yang cengkung dan menitis ke dalam pinggan. Datuk masih leka bergomol dalam nikmat udang masak merah itu. Sudah Parkinson, macam kanak-kanak saja gayanya.

Tiba-tiba nenek merendam tangannya ke dalam bekas cucian tangan sehingga ke paras pergelangan lengan. Ditos, lalu dikesat ke mulut. Sapu tangan yang memang sedia dipinkan pada baju kebaya longgar nenek menjadi mangsa lap mulut. Air putih segelas penuh jadi separuh. Nenek beredar dari meja makan. Ibu turut melakukan serupa, mencuci tangan, meneguk air, mengelap mulut. Nenek ibu ekori.

Semua kami kebingungan. Ayah sekejap saja, sebelum suapan demi suapan bersambungan masuk ke dalam mulut. Mungkin fikirnya, ia hal keluarga isterinya, maka tidak perlu masuk campur. Kulihat kakak pula termenung, datuk masih terus menyuap. Dan aku sedang kebingungan. Hambar tiba-tiba makan malam kami.

Sebentar kemudian, kedengaran esakan nenek dari tingkat atas. Suara ibu juga kedengaran, cuma sedikit terkalahkan oleh tangisan nenek. Butir kata mereka kurang jelas, maka aku lekas-lekas menyudahkan nasiku dan pantas mendaki anak tangga. Birainya bergegar saat aku berpaut dengan rasa ingin tahu.

"Mak, biarkanlah yang lalu itu, berlalu... mak menangispun, bukannya dia boleh pulang," terdengar suara ibu memujuk.

"Sya, mak tak boleh maafkan diri mak. Kalaulah mak penuhi permintaannya, pasti dia takkan lari dari rumah!" nenek membalas. Ada jeda yang canggung, dapat kurasakan itu. Ada bunyi orang menepuk bahu orang lain dan mengusapnya. Ada bunyi kipas siling yang berputar sedikit mengilukan. 

Hah, dia? Siapa dia? Siapakah dia ini yang berani menyebabkan makan malam kami jadi sugul? Dan pulang... pulang kemana? Siapa yang pulang? Rasa ingin tahu semakin membakar, sehangat bara cili api kuah udang masak merah itu. Ada pembayang pedas masih tertinggal pada lidahku. Di sebalik dinding pemisah antara koridor dan bilik nenek, aku bersandar. Memasang telinga.

Sedang asyik melawan gigitan pedas bekas udang masak merah ibu, aku terpijak sebentuk pin yang entah dari mana datangnya. Koridor yang menghubungkan bilik nenek dan tangga ke bawah itu agak gelap, lampunya belum ayah baiki. Aku menjerit refleks dan seolah mendengar itu, telapak kaki ibu berderap ke arah pintu dan aku lintang-pukang lari turun semula ke meja makan. Kedengaran daun pintu dihempas kuat.

Beberapa minit kemudian, ibu kelihatan sedang memapah nenek yang merah matanya. Baru lepas menangis, kurasa. Kakak segera menarik bangku tempat nenek duduk tadi, selepas menyeringaiku. Mempersilakan nenek untuk duduk. Aku rasa bersalah dan janggal bila teringat 'jenayah' yang aku lakukan. Tapi ibu seperti tidak kisah. Dia menyambung semula suapannya yang tadi terjeda. Ayah sudah lama habis, sedang membaca akhbar di ruang tamu. Hujung akhbar berbunyi ditiup angin. 

.....

Habis saja makan malam dan membantu mengemas meja makan bersama ibu dan kakak, aku mendekati ibu yang sedang membilas pinggan mangkuk yang disabun kakak. Penyapu yang aku gunakan sebentar tadi kugunakan untuk menongkat dagu, dekat dengan ibu. Sinki berletak dekat dengan pintu dapur, maka dari situlah kulempar imaginasiku jauh-jauh ke dalam kepekatan gelap malam. Ingin kutanyakan sebab kejadian tadi, tapi mulut berat. Lagipula masih berbaki pedas udang masak merah ibu padanya.

Ibu seakan mendengar persoalan hati. Dengan cermatnya dia menggosok pinggan kaca dengan air pili yang mencurah, lalu mula bercerita. Mulanya kakak berpura-pura tidak ambil kisah. Tahu-tahu, telinga sudah di atas bahu ibu.

"Dulu, ibu ada kakak. Namanya Saerah," kata ibu. Bayu malam menyapa. "Dia sangat meminati bidang masak-memasak, sama seperti ibu. Kami dari kecil diajar cara mengulasi bawang merah, mencincang daun sup dan mencungkil kelam untuk dibuat tekwan. Kami berseronok di dapur, bukan seperti generasi sekarang dengan alam maya," ada bau sindiran, namun aku dan kakak tidak kisah. Lagi bu, lagi!

"Jadinya, suatu hari mak cik kamu itu memohon ibu ibu- uhm- nenek kamu untuk mengajarkan dia resepi udang masak merah yang memang keramat dalam keluarga Wisongko. Wisongko itu nama bapa moyang kamu." 

"Jadi?" kakak mencelah, tidak sabar. Aku pukul belakang kakak, menghukum kerana mengganggu penceritaan ibu.

"Tapi nenek tidak bagi. Nenek tidak ajar, bahkan nenek bentak. Nenek kata resepi itu tidak boleh diajarkan kepada mana-mana anak dara sehinggalah dia ditunangi orang. Itu tradisi orang Jawa pecahan kita. Itu undang-undang aturan Wak Wisongko, nak..."  menyudahkan itu, air mata ibu kelihatan berkumpul. Dan baru itulah aku teringat, kak Adeelah akan berkahwin dengan Bax MacMillan dari Pennsylvania.

Ibu cuba untuk tidak menangis, namun asakan memori dia bersama Saerah, kakaknya, terlalu hebat. Kakak cuba menenangkan ibu, melurut belakang ibu yang semakin dibongkoki usia. Tangan ibu berhenti bekerja, maka aku tarik kerusi plastik yang menahan daun pintu dapur, lalu mendorong ibu untuk duduk. Ibu mengelap air matanya.

Seolah tidak memahami kesedihan itu, mulutku celupar bertanya, "Apa jadi pada Mak Cik Saerah?"

Ibu tidak segera menjawab. Ekspresi mukanya sudah cukup menjawab persoalan yang lama berlegar dalam kepalaku. Oh, mungkin Mak Cik Saerah lah yang hilang itu. Mungkin Mak Cik Saerah lah yang tidak mahu pulang, dan nenek menangisi pemergiannya.

"Dia kecewa dan melarikan diri dengan jejaka Jawa dari Lambok. Konon jejaka Lambok itu pandai memasak udang masak merah keluarga Wisongko. Ibu tidak pasti apa benar dakwaan lelaki itu. Sejak itu, bila menyebut pasal 'ajar masak udang masak merah', nenek terasa. Nenek bersalah dan menitis air mata,"

Kakak mengangguk perlahan. Dia menelan suatu rasa keharuan, matanya berair. Tersentuh mungkin dengan cerita yang baru kamu berdua dengar keluar dari mulut ibu itu. Kakak tidak lagi bertanya, meski dari gerak gaya dia masih ada banyak untuk ditanya. Kelembutan hati ibu, dia sudah tidak mahu uji. Takut meraung pula.

Begitulah hebatnya penangan udang masak merah keluarga Wisongko. Bukan saja sedap, bukan saja berlemak. Bukan saja mampu mencairkan selera, mematikan ego sang jejaka. Udang masak merah ini rupanya ada palitan air mata.

.....

______________________________________________________________________________   
"Das Leben gehört den Lebenden an, und wer lebt, muss auf Wechsel gefasst sein."
"Life belongs to the living, and those who live must be prepared for change."
- J.W. von Goethe (1749-1832), 'Wilhelm Meisters Wanderjahre'